SFC News Selangor FC Umum Jalinan Kerjasama Dengan TikTok Dan Lancarkan Program 'RG NEIGHBOURHOOD' Untuk Komuniti Setempat

Partners | TikTok | 28 JAN 2024 | FAS

Selangor FC Umum Jalinan Kerjasama Dengan TikTok Dan Lancarkan Program 'RG NEIGHBOURHOOD' Untuk Komuniti Setempat

news-picture

Selangor, 28 Januari 2024 - Kelab Bola Sepak Selangor (SFC) mengumumkan jalinan kerjasama strategik dengan TikTok, destinasi utama untuk video mudah alih bentuk pendek, serta melancarkan program yang dinamakan sebagai 'RG Neighbourhood' dalam suatu majlis menandatangani perjanjian yang diadakan hari ini, sebagai persiapan Red Giants untuk mengharungi musim 2024.

Sebagai rakan kongsi digital rasmi SFC, TikTok akan menyediakan latihan dan bengkel untuk membolehkan pemain menggunakan platform tersebut untuk membina komuniti. TikTok juga akan bekerjasama dengan SFC untuk memberi impak positif kepada komuniti setempat dengan menambah baik dan memperbaharui kemudahan sukan, menggalakkan gaya hidup yang lebih sihat dan aktif, serta mendorong penyertaan bola sepak di kalangan belia. Untuk menghormati kerjasama ini, SFC juga akan memaparkan logo TikTok di stadium dan menggunakan #SukanDiTikTok di semua saluran media sosial pada hari perlawanan.

"TikTok percaya dengan ketulusan dan keikhlasan dalam membina hubungan dan semangat kemasyarakatan yang kukuh bakal membawa impak positif dalam masyarakat. Melalui hubungan kami dengan Kelab Bola Sepak Selangor sebagai rakan kongsi, kami berharap agar dapat memperkasakan komuniti tempatan untuk menyertai sukan ini dan menggalakkan gaya hidup yang lebih sihat dan aktif untuk rakyat Malaysia," kata Yin Yin Hooi, Ketua Operasi Malaysia di TikTok.

Dr Johan Kamal Hamidon, Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bola Sepak Selangor, turut melahirkan rasa terujanya terhadap kerjasama ini, menurut beliau, "Tahun ini akan menjadi tahun yang lebih mencabar bagi Red Giants. Justeru, kami amat memerlukan sokongan daripada rakan kongsi kami untuk mencapai matlamat kami bagi musim ini."

“Selain menyasarkan kejayaan di atas padang, kami juga mahu mengeratkan hubungan kelab dengan komuniti setempat,” tambahnya. "Jadi, terima kasih TikTok dan penduduk di sini kerana menjayakan acara 'RG Neighbourhood' yang pertama hari ini. Semoga lebih banyak program komuniti dapat dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran bagi kedua-dua pihak dan membina hubungan yang lebih akrab dengan peminat Red Giants."

SFC ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada TikTok atas sokongan dan komitmen mereka. Kami berharap agar kerjasama ini akan memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk menjadikan sukan sebagai gaya hidup sihat dan aktif, kami berharap agar inisiatif ini boleh bersama-sama memperkasakan komuniti tempatan.

Demi Kebanggaan!

phone